KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menegaskan penumpang yang tidak sihat tidak akan dibenarkan menaiki sistem pengangkutan awam kendaliannya termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid KL, Azmi Md Zain, berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilakukan demi memastikan keselamatan semua pihak dan mengekang penularan COVID-19.

"Kita menekankan pematuhan SOP COVID-19 yang ketat dan di pihak kita termasuk pekerja, kita telah lakukan yang terbaik. Justeru, kita berharap penumpang juga memainkan peranan dengan mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

"Sebagai contoh, kalau tidak sihat kita tak benarkan penumpang menaiki sistem kita dan kalau tak pakai pelitup muka, juga tidak dibenarkan masuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan terkini penggunaan perkhidmatan rel pada hari pertama pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang di Stesen KL Sentral di sini hari ini.


Peralihan Fasa Kedua | Tinjauan penggunaan pengangkutan awam

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan membenarkan Lembah Klang beralih ke Fasa 2 PPN.

Susulan peralihan fasa itu, kekerapan semua perkhidmatan rel kendalian Prasarana ditingkatkan bagi membolehkan penumpang kekal mematuhi penjarakan fizikal berikutan jumlah pengguna dijangka bertambah mulai minggu depan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi penumpang melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan akan menambah jumlah tren jika perlu.

"Penumpang tidak perlu risau kerana kita menyediakan kapasiti mencukupi mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, laluan monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara empat hingga 10 minit, bergantung pada waktu puncak.

Bagaimanapun, katanya operasi perkhidmatan rel adalah dari 6 pagi hingga 11 malam sahaja.

Azmi berkata penumpang juga digalakkan untuk melakukan penjarakan fizikal secara kendiri memandangkan operasi tren dijalankan dengan kapasiti 100 peratus penumpang.